Imbangan perdagangan Oktober 2025 meningkat 24.1 peratus





Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Disember. - Imbangan perdagangan bagi bulan Oktober 2025 meningkat sebanyak 24.1 peratus, berbanding bulan Oktober 2024. 


Ini adalah didorong oleh peningkatan eksport sebanyak 8.3 peratus kepada BND1,147.5 juta, manakala, nilai import mencatatkan penurunan sebanyak 3.0 peratus kepada BND600.2 juta.


Penyumbang utama kepada nilai eksport adalah Bahan Api Galian sebanyak 76.9 peratus, diikuti oleh Bahan Kimia sebanyak 20.1 peratus, serta Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak 1.5 peratus.


Sementara itu, pasaran eksport utama adalah Australia sebanyak 23.2 peratus, diikuti oleh Jepun dan Republik Rakyat China, masing-masing sebanyak 15.4 peratus dan 15.3 peratus. 


Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah Bahan Api Galian dan Bahan Kimia.


Manakala, bagi import pula, penyumbang utama adalah Bahan Api Galian sebanyak 55.9 peratus, diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak 12.4 peratus, serta Makanan sebanyak 10.3 peratus.


Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 29.5 peratus, diikuti oleh Republik Kazakhstan sebanyak 15.4 peratus, dan Australia sebanyak 11.0 peratus. Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah Bahan Api Galian dan Makanan.


Secara keseluruhan, jumlah perdagangan bagi bulan Oktober 2025 meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada BND1,747.7 juta, berbanding bulan Oktober 2024.


Import mengikut kategori penggunaan akhir digunakan untuk pemprosesan Barangan Perantaraan sebanyak 60.9 peratus, diikuti oleh Barangan Modal bagi operasi perniagaan sebanyak 34.4 peratus, dan Barangan Penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 4.7 peratus.


Berbanding September 2025, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 3.1 peratus pada bulan Oktober 2025, didorong oleh peningkatan eksport sebanyak 12.0 peratus.


Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Oktober 2025 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di 'https://deps.mofe.gov.bn'.

 

Close